HAKIKAT CINTA

CINTA KERANA ALLAH

Oleh Iman Ghazali

Kecintaan yang hakiki yang didasarkan kerana ALLAH ialah apabila seseorang itu tidaklah mencintai orang lain itu kerana peribadi (dzat) nya orang itu , tetapi semata-mata kerana mengingat keuntungan-keuntungannya yang akan diperoleh untuk keakhiratan daripada sahabatnya itu. Misalnya seseorang yang mencintai gurunya, sebab dengan guru itu, dia dapat memperoleh perantara yang berguna bagi menghasilkan ilmu pengetahuan serta memperbaiki amalannya, sedang tujuan utamanya ialah bahawa dengan ilmu pengetahuan dan amalan yang dilakukannya itu hanyalah untuk keakhiratan belaka. Orang yang sedemikian inilah yang termasuk dalam golongan para pencinta melulu untuk mencari keredhaan ALLAH sahaja.

Demikian pula seseorang yang mencintai muridnya, sebab pada muridnya itulah dia dapat mencurahkan isi pengetahuannya dan dengan perantaraan muridnya itu pula, dia dapat memperoleh derajat atau tingkat sebagai pengajar atau guru. Guru yang semacam inilah juga disebut mencintai orang lain untuk mencari keredhaan ALLAH Ta'ala.

Bahkan seseorang yang suka menyedekahkan hartanya kerana ALLAH bukan untuk pamer dan riak, suka mengumpulkan tamu-tamunya lalu menjamu mereka dengan makanan lazat-lazat serta beraneka jenis yang dilakukan semata-mata kerana untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Ia suka kepada kepada orang pemasak yang pandai kerana ketelitian dan kebaikan cara memasaknya, maka orang itupun termasuk pula dalam golongan pencinta untuk mencari keredhaan ALLAH.

Selain itu, termasuk pula dalam golongan ini seseorang yang mencintai kepada seseorang yang suka menyampaikan sedekah atau zakatnya kepada orang-orang yang berhak menerimanya. Jadi dia juga mencintainya kerana ALLAH. Demikian pula seseorang yang mencintai pada pelayannya yang membantu dirinya untuk mencucikan pakaian atau membersihkan lantai rumahnya atau memasakkan makanannya, kemudian dengan demikian tadi ia sendiri dapat penuh mencurahkan ilmu pengetahuan serta amalan shalihnya, sedang maksudnya menggunakan pelayan dengan pekerjaan tadi adalah untuk terus-menerus dapat beribadat, itupun orang yang mencintai kerana ALLAH juga.

Sementara itu, seseorang yang mencintai orang yang memberikan nafkah dari hartanya dan mencukupi pakaian, makanan serta tempat tinggalnya dan juga segala macam keperluan yang diperlukan dalam kehidupan di dunia, sedang maksudnya ialah bahawa dengan demikian itu ia dapat memusatkan perhatian dalam seluruh waktunya untuk menuntut ilmu pengetahuan atau melakukan amalan shalih yang dapat mendekatkan dirinya kepada ALLAH Ta'ala, maka orang inipun termasuk mencintai kerana ALLAH Ta'ala.

Orang-orang salaf dahulu, sebahagian di antara mereka itu ada yang seluruh keperluannya ditanggung dan dicukupi oleh kaum hartawan dan mereka yang berkemampuan. Maka kedua belah pihak tadi, baik yang memberi kegembiraan atau yang menerima kegembiraan adalah termasuk saling cinta-mencintai untuk keredhaan ALLAH juga.

Apabila seseorang itu menikahi seseorang wanita yang shalih, yang dengan demikian itu dimaksudkan agar dirinya dapat terhindar dan terjaga dari godaan syaitan dan pula guna menjaga agamanya atau agar nantinya dapat dikurnia oleh ALLAH Subhanahu wa Ta'ala seseorang anak yang shalih ataupun seseorang yang mencintai isterinya kerana isteri itulah yang merupakan perantara atau alat kepada tujuan-tujuan keagamaan, maka kedua macam orang itupun termasuk mencintai kerana ALLAH.

Juga seseorang yang dalam kalbunya ada rasa kecintaan kepada ALLAH dan dunia, seperti seseorang yang mencintai seorang guru yang mengajarkan ilmu pengetahuan kepadanya, baik agama atau lainnya, lalu ia memberikan kecukupan, sehingga tidak lagi memikirkan keperluan-keperluan dalam hal dunia, umpama dengan mengembirakannya dengan jalan memberikan sebahagian hartanya, maka orang inipun namanya mencintai kerana ALLAH pula.

Memang, bukan sekali-kali yang merupakan syarat mencintai ALLAH itu harus tidak mencintai harta dunia, sehingga bahagiannya dari dunia itu ditinggalkannya sama sekali, tidak, sebab isi doa yang diperintahkan oleh para nabi Shalawatullahi 'alaihim itu adalah mencakup antara kepentingan dunia dan akhirat, sebagaimana yang tertera dalam ayat al-Quran:

"Ya Tuhan kami, berikan kebaikan pada kami di dunia dan kebaikan pula di akhirat" (Surah Al-Baqarah ayat 201)

Juga dalam hadits Nabi SAW disebutkan suatu doa yang berbunyi:

"Ya ALLAH, sesungguhnya saya memohon padaMU suatu kerahmatan yang dengannya itu dapatlah saya memperoleh keutamaan kemuliaanMU di dunia dan akhirat" (HR Tirmidzi)

Demikianlah arti yang sebenarnya dalam persoalan mencintai ALLAH dan cinta-mencintai keranaNYA.

Selanjutnya, perlu kita maklumi, bahawa apabila kecintaan kerana ALLAH sudah benar-benar kuat dalam jiwa seseorang, maka itulah yang akan membawa saling harga menghargai, suka menolong, dan dermawan untuk membelanjakan segala yang dimiliki, baik jiwa, harta dan ucapan yang berupa nasihat yang baik dan terpuji.

Perbezaan setiap manusia dalam hal selisihnya perkara kecintaan sebagaimana yang diuraikan di atas itu adalah bergantung pada besar kecilnya kesedaran dalam menginsafi arti kecintaan pada ALLAH TA'ALA itu sendiri, hanya saja kadang-kadang seseorang itu akan menerima suatu ujian dalam menghadapi masalah-masalah yang bertalian dengan keuntungan atau bahagian dari dirinya sendiri, bahkan kadang-kadang ini dapatlah ia memenangkannya, sehingga untuk dirinya sendiri tiada bahagian yang diperolehnya. Adakalanya, bahagian itu semua diperoleh oleh orang yang dicintai itu semata-mata.

Sementara itu, ada pula kecintaan yang dilakukan dengan cara meninggalkan sebahagian dari haknya dan hanya sebahagian sahaja yang diambilnya, umpama seseorang yang dengan rela hati memberikan sebahagian dari harta miliknya sendiri kepada kekasihnya, baik separuh, sepertiga, atau sepersepuluhnya. Dari kadar banyak yang diberikannya itulah dapat dinilai betapa besarnya atau betapa tinggi nilai kecintaannya itu, sebab tentulah tidak dapat mengerti tingkat apa yang dicintai itu melainkan dengan mengorbankan sesuatu yang dicintai pula, yakni yang ditinggalkan sebagai bandingnya.

Seseorang yang sudah sangat mendalam kecintaannya dan dengan sepenuh hati mencintainya, pastilah tiada sesuatu bendapun yang masih dicintainya kecuali apa yang paling dicintainya tadi. Oleh sebab itu, tidak perlulah dirinya memiliki atau menahan sesuatupun lagi, asalkan yang dicintai dengan sungguh-sungguh tadi masih tetap dalam gengamannya. Misalnya yang demikian ini merupakan perilaku yang dilaksanakan oleh Abu Bakar Ashshiddiq r.a. Ia telah menyerahkan seorang puterinya kepada Rasulullah s.a.w yang sebenarnya puterinya itu adalah jantung hati dan kepuasan mata kalbunya. Bahkan seluruh hartanya diberikan untuk kepentingan agama.

Oleh sebab itu, maka dapatlah ditarik kesimpulan dari uraian di atas, bahawa seseorang yang mencintai seorang alim atau seorang ahli ibadat atau seseorang yang gemar menuntut ilmu pengetahuan atau melangsungkan peribadatan atau apa saja yang merupakan amal kebaikan, maka orang tadi benar-benar dapat dianggap mencintai kerana ALLAH dan untuk ALLAH semata-mata. Dalam hal ini tentulah ia memperoleh pahala dan kurnia menurut kadar besar kecilnya atau sampai di mana kekuatan kecintaan yang dibuktikan oleh dirinya.

(dipetik dari Kitab Ihya Ulumuddin Imam Ghazali, Bimbingan untuk Mencapai Tingkat Mukmin, di bawah tajuk Tata Kesopanan Hidup Rukun dan Bergaul)

Laman Utama