Jodoh dan Pertemuan

Assalamualaikum wbt,

[copy and paste from dakwah.net]

[Rasulullah menasihatkan: Jangan kahwin perempuan kerana cantiknya semata-mata. Mungkin kecantikannya itu menjadikannya buruk. Jangan kerana hartanya. Mungkin kerana hartanya menyebabkannya zalim tapi pilihlah perempuan yang taat beragama, kerana ia akan menguntungkan kamu.]

'Jodoh pertemuan adalah di dalam tangan Tuhan'. Begitulah bunyi serangkap ayat yang tidak asing lagi di dalam masyarakat Melayu kita.

Sebagai seorang Islam sejati, kita diwajibkan percaya tiada siapa yang boleh menentukan jodoh seseorang itu melainkan dengan kehendak Allah s.w.t.

Di dalam soal jodoh seseorang itu, Allah s.w.t. tidak akan menentukan sesuatu melainkan berdasarkan kehendak dan kemahuan seseorang itu sendiri. Natijah daripada perbuatan itulah terletaknya penentuan Allah s.w.t. Yang Maha Mengetahui.

Allah s.w.t. tahu apa yang dikehendaki oleh seseorang itu dan juga apa yang akan dilakukannya; maka di akhir perbuatan seseorang Allah s.w.t. telah menentukan sesuatu apa yang dinamakan qada dan qadar.

Sebagai contoh, Allah s.w.t. memang telah mengetahui siapakah perempuan yang akan dipinangnya itu dan juga siperempuan mana pula yang akan menerima pinangannya. Di atas dasar inilah Allah s.w.t.
menentukan jodoh seseorang itu.

Oleh yang demikian sekiranya seseorang itu betul-betul faham dengan penjelasan di atas, ia tidak akan menyalahkan Allah s.w.t. kerana telah menjodohkannya dengan seorang yang kurang sesuai dan tidak sempurna sehinggakan mahligai yang didirikan itu menjadi kucar-kacir.

Seseorang itu sudah tentu tidak akan tahu siapakah jodohnya melainkan setelah mereka menjadi suami isteri yang sah.

Pada kebiasaannya, ini akan didahului dengan proses pertemuan sebagai permulaan, diikuti pula dengan perkenalan, peminangan, pertunangan dan diakhiri dengan perkahwinan iaitu suatu perjanjian akad atau persetujuan yang suci murni di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang sah dinikahi di atas dasar yang penting iaitu suka sama suka (tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak) antara kedua-dua mereka diakadkan oleh walinya yang sah, disaksikan oleh dua orang saksi yang layak dan dengan lafaz ijab dan kabul.

Perlulah ditegaskan di sini bahawa walaupun seseorang itu telah bertunang terlebih dahulu belumlah pasti lagi yang mereka itu adalah jodohnya kerana memang tidak dapat dinafikan bahawa ada banyak pertunangan yang tidak diakhiri dengan perkahwinan.

Untuk sampai ke peringkat mengenali jodohnya, seseorang itu pada kebiasaannya mestilah melalui proses pertemuan sehinggalah diijabkabulkan.

Seseorang itu tidak boleh menyerahkan segala-galanya pada takdir untuk menemui jodohnya (sepertimana yang masih dilakukan oleh sesetengah orang) tanpa terlebih dahulu berusaha dan berikhtiar untuk mencari dan mendapatkannya. Ini kerana penentuan Allah s.w.t. di dalam hal jodoh sesorang itu mula-mula berpunca daripada ikhtiar dan perbuatan seseorang itu sendiri.

Semua proses itu adalah daripada kehendak dan pilihan manusia sendiri. Apabila keputusan telah pun dilaksanakan, iaitu pihak si lelaki meminang si perempuan dan pinangan ini telah diterima oleh pihak si perempuan, dan diakhiri dengan perkahwinan berertilah mereka telah berjaya menemui jodoh masing-masing sepertimana yang dituntut oleh Allah s.w.t.


Berlainan

Lelaki dan perempuan mempunyai hak dan tugas berlainan. Hak lelaki ialah hanya mencari dan memilih supaya orang yang menjadi pilihannya itu benar-benar mengikut kemahuan dan menepati kehendaknya, misalnya si perempuan ini sesuai untuk dijadikan isteri untuknya dan sebagai seorang ibu kepada bakal anak-anaknya.

Perempuan pula diberi kuasa menentukan samaada hendak diterima atau tidak setelah dipinang supaya bakal pilihannya itu akan menjadi seorang suami yang baik dan bertanggungjawab serta sebagai seorang bapa kepada bakal anak-anaknya.

Maka dengan secara tidak langsung, penentuan jodoh itu adalah kerana di atas daya usaha kedua-dua belah pihak.

Islam menyuruh pengikut-pengikutnya bernikah, iaitu mula berikhtiar dan berusaha sehinggakan dapat mencari pasangan hidupnya kerana memang tidak dapat dinafikan bahawa setiap makhluk tidak boleh hidup sempurna berterusan sacara bersendirian tanpa pasangannya. Ini adalah suatu pemberian nikmat Allah s.w.t. kepada makhluknya.

Namun demikian, mencari jodoh atau pasangan bukanlah suatu perkara yang mudah dan senang. Ia memerlukan sifat-sifat seperti keikhlasan, kesungguhan dan ketabahan kerana ia memasuki detik-detik penting, iaitu suatu detik permulaan untuk menentukan corak hidup masa hadapannya di dalam erti kata hidup dalam kekeluargaan untuk seumur hidup, insya-Allah.

Sesuatu perkahwinan itu janganlah didirikan secara tergesa-gesa tetapi sebaliknya biarlah seseorang iru berhati-hati dan waspada serta mengambil suatu masa yang sesuai untuk membuat pertimbangan yang halus lagi teliti supaya terelak daripada sebarang penyesalan yang mungkin timbul di kemudian hari.

Pembetukan keluarga yang bahagia dan sempurna terletak pada kesedaran agama dan iman yang kuat pasangan berkenaan.

Pendek kata, di samping melalui peraturan atau proses perkahwinan yang lengkap, Islam juga memberi tunjuk ajar mengenai mutu hidup yang baik demi untuk mencapai dan memperolehi keluarga yang sempurna dan bahagia di mana keutamaan harus diberikan kepada dasar pemilihan pasangan hidup.

Untuk panduan ke arah dasar ini, diperturunkan di bawah ini maksud-maksud hadis Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. telah menegaskan di dalam sebuah hadis yang bermaksud:
" Dikahwinkan seorang perempuan itu kerana empat perkara. Kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana kedudukan atau keturunannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah memilih perempuan yang beragama, nescaya menguntungkan kamu."

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi, yang bermaksud:
" Janganlah mengahwini perempuan kerana kecantikannya mereka, mungkin kecantikannya itu menjadikannya buruk. Janganlah kamu mengahwini mereka itu kerana hartanya, mungkin hartanya itu menjadikannya zalim, Sesungguhnya hamba perempuan yang hitam tetapi beragama adalah lebih baik."

Kesimpulannya, agama dan keimanan yang kuat hedaklah diutamakan sebagai dasar asasi pemilihan pasangan hidup. Di samping kecantikan, kekayaan, kedudukan atau keturunan yang baik seseorang lelaki itu adalah juga penting di dalam dasar memilih pasangan hidup.

Apabila sudah sampai jodoh seseorang itu, janganlah ibu bapa itu cuba melakukan sesuatu yang boleh mengelak atau melambatkan jodoh, seperti menolak pinangan atau menghalang sesuatu perkahwinan anaknya tanpa apa-apa sebab yang lojik dan munasabah walaupun niat anak mereka itu adalah jujur, ikhlas dan murni.

Sekiranya keadaan ini terjadi, perbincangan harus diadakan. Misalnya, kenapa dan mengapa ibu bapanya menghalang, apakah alasan dan sebab-sebabnya serta juga rahsia di sebaliknya. Ibu bapa perlu juga mengetahui kenapa dan mengapa si anak ingin bernikah dengan si lelaki atau si perempuan itu.

Sekiranya pendapat ibu bapa atau wali dianggap lebih baik, maka si anak hendaklah mematuhi pendapat ibu bapanya tetapi di sebaliknya jika pendapat atau alasan-alasn si anak itu lebih baik lagi munasabah, ibu bapanya hendaklah bertolak ansur dan menerima keputusan anaknya kerana si anak akan lebih memahami dan lebih tahu menilai kebahagian untuk dirinya.

Di dalam keadaan ini, si anak tidak boleh dicap sebagai anak derhaka sekiranya ia tidak mendengar kata-kata ibu bapanya demi untuk menyempurnakan suatu hajat yang suci dan halal.

Berhubung dengan perkara jodoh juga perlulah ditegaskan, seseorang Islam yang kuat imannya yang mempercayai bahawa jodoh pertemuan adalah di dalam tangan Allah, seharusnya tidak boleh mencaci dan menghalang sesuatu perkahwinan (tanpa sebarang alasan yang boleh diterims akal) kerana itu adalah kehendak Allah s.w.t. Sebaliknya kita seharusnya bersyukur di atas pemberian dan ketetapan-Nya. Juga di dalam hal jodoh seseorang anak itu ibu bapa mestilah berhati-hati supaya tindak tanduk mereka tidak menyerupai seakan-akan merekalah yang menentukan jodoh (bukannya Allah s.w.t.) dan merekalah yang hendak bernikah (berkahwin) bukannya anak mereka.

Keadaan yang sedih ini memang tidak dapat dinafikan masih berlaku disetengah keluarga dan ini adalah salah satu punca keretakan perhubungan di antara anak dengan ibu bapa.

Namun demikian, di dalam usaha ke arah membentuk dan mewujudkan sebuah keluarga bahagia, Islam memberi kebebesan berfikir di atas dasar bahawa sebarang paksaan, jika berlaku, sudah pasti tidak akan mendapat apa-apa kejayaan mahu pun menghasilkan suatu suasana bahagia di dalam sebuah rumahtangga.

Berpandukan kepada keterangan di atas, ibu bapa tidaklah seharusnya memaksa anaknya berkahwin dengan seorang yang tidak disetujui oleh anak mereka.

Juga perlulah diingatkan di sini, bahawa gadis itulah yang lebih berhak di dalam soal perkahwinannya.

Berhubung dengan ini, Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
" Janda lebih berhak atas dirinya dari walinya, sedang perawan diminta izin tentang urusan dirinya dan izinnya itu aalah diamnya (diam itu menunjukkan kerelaannya)".

Bagaimanapun, di dalam pengertian jodoh bagi pasangan hidup manusia, perlu juga ditegaskan bahawa sebaik-baik pemilihan jodoh itu biarlah mendapat restu dan keredaan kedua-dua ibu bapa dan keluarga serta dipersetujui penuh oleh kedua-dua bakal pengantin itu.

Keredaan ibu bapa adalah juga bererti keredaan Allah s.w.t. dan kemarahan mereka itu adalah juga kemarahan Allah s.w.t. Maka al-Quran telah menasihatkan kita supaya berlaku ikhsan terhadap ibu bapa dan keluarga. Semoga mereka yang berjaya mendirikan rumahtangga dengan restu ibu bapa dan keluarga akan memperolehi kebahagian di kemudian hari.

Akhir sekali, ada juga terdapat sebilangan orang yang masih lagi meletakkan kepercayaan serasi berdasarkan kepada, misalnya, nama, tarikh lahir, warna kulit dan bentuk badan bakal jodohnya sehingga ada di antara mereka yang sanggup memutuskan perhubungan kerana kepercayaan tidak serasi ini. Sebilangan mereka sanggup menemui tukang tilik demi mempastikan sama ada bakal jodohnya itu adalah serasi dengannya atau tidak. Semuanya ini adalah kepercayaan karut dan bertentangan dan bertentangan dengan ajaran Islam yang maha suci. Wassalam Oleh: Fadzullah Abdullah