Seruan untuk Berumahtangga

Manusia diseru oleh ALLAH untuk merasai akan nikmatnya berumahtangga. Ketahuilah bahawasanya, ALLAH SWT tidak memerintahkan sesuatu itu dengan sia-sia.

Sememangnya, kita adalah insan yang memerlukan teman hidup dalam melayari bahtera kehidupan di atas lautan yang bergelora. Maka, kita perlu membangunkan satu rumahtangga yang harus melalui satu ikatan yang dinamakan "ikatan perkahwinan". Dengan lafaz ijab dan kabul, maka bermulalah satu alam baru bagi memenuhi keperluan manusia kepada pasangannya yang berlainan jantina sebagaimana yang telah dijelaskan oleh ALLAH SWT dalam FirmanNYA yang bermaksud:

"Dan di antara kebesaran ALLAH ialah IA ciptakan isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNYA di antaramu rasa kasih dan sayang, sesungguhnya yang demikian itu terdapat tanda-tanda kebesaran ALLAH bagi mereka yang mahu berfikir" (Ar-Rum ayat 21).

Dari firman ALLAH ini jelaslah bahawa keperluan hidup iaitu cinta, kasih, sayang dan rindu akan dapat diperoleh dalam perkahwinan yang telah diatur oleh ALLAH SWT sendiri. Firman ALLAH di atas disokong pula oleh hadis Nabi SAW yang bermaksud:

"Wahai Pemuda, barangsiapa di antara kamu yang sudah sanggup untuk berkahwin, maka kahwinlah, kerana kahwin itu lebih merendahkan pandanganMU dan memelihara kehormatanmu. Barangsiapa yang tidak sanggup kahwin, maka berpuasalah, kerana puasa itu akan menurunkan keinginan syahwat." (HR Bukhari dan Muslim)

Begitulah kerasnya anjuran kahwin ini, sehinggakan dalam hadis yang lain Rasulullah mengancam bagi mereka yang tidak mahu kahwin, sebagaimana sabda baginda yang ertinya:

"Nikah itu adalah sunnahku, dan barangsiapa yang tidak melakukan sunnahku, bukanlah ia dari golonganku dan berkahwinlah kamu kerana aku akan merasa bangga dengan banyaknya kamu pada hari kiamat"

Dalam hadis lain juga diriwayatkan:

"Uhaf datang kepada Rasulullah SAW, ia belum mahu kahwin padahal telah mampu, lalu Nabi bertanya kepadanya, "Apakah engkau telah beristeri wahai Ukaf?" Jawab Ukaf "Belum." Sabda Rasulullah, "Tidakkah engkau mempunyai budak perempuan?" Jawabnya, "Tidak." Sabda baginda lagi, "Bukankah engkau sihat dan mampu?". Jawabnya, "Ya, alhamdulillah." Lalu nabi bersabda, "Kalau begitu engkau termasuk teman setia syaitan. Kerana engkau mungkin termasuk golongan pendeta Nasrani, oleh kerana itu bererti engkau termasuk dalam golongan mereka. Atau mungkin engkau termasuk golongan kami, sehingga kerana itu hendaklah kamu berbuat seperti yang menjadi kebiasaan kami. Kerana kebiasaan kami adalah beristeri. Orang yang paling durhaka di antara kamu ialah orang yang membujang, orang yang paling hina di antara kamu ialah para bujangan. Sebab itu, sungguh celakalah kamu wahai Ukaf, oleh kerana itu, kahwinlah!" Lalu Ukaf berkata, " Wahai Rasulullah, aku tidak akan mahu kahwin , sebelum engkau yang mengahwinkan aku denga orang yang engkau sukai." Lalu Rasulullah bersabda, "Kalau begitu aku kahwinkan engkau dengan nama ALLAH dan dengan berkahNYA kepada Kultsum al-Humairi, seorang wanita yang berbudi mulia". (HR Ibnu Atsir dan Ibnu Majah)

Dari ungkapan-ungkapan hadis-hadis di atas, maka jelaslah, hanya Islamlah satu-satunya agama yang menggalakkan serta memberi motivasi kepasa setiap orang supaya berumahtangga. Sedangkan agama-agama lain malah memuji hidup secara membujang, misalnya dalam agama buddha menanggap bahawa orang yang suci ialah orang yang tidak manu beristeri, begitu juga dalam agama Nasrani. Akan tetapi dalam agama Islam, orang yang tercela itu ialah orang yang tidak mahu berumahtangga. Jika sudah waktunya kita berumahtangga, masih lagi menunda-nunda dengan alasan ini dan itu, lalu kita mati, maka keadaan kita adalah termasuk di dalam golongan seburuk-buruk orang mukmin yang mati.

Anjuran Perkahwinan bukan Halangan

Kepada mereka yang ingin berumahtangga, demi mentaati ALLAH serta menjaga kehormatan agamanya, ALLAH SWT dengan melalui Rasulullah SAW memberikan dorongan sekali gus janji, supaya mereka tidak gelisah atau dibebani dengan fikiran-fikiran yang berat misalnya:

-Apakah yang akan saya makan kalau saya beristeri nanti?

-Apakah saya dapat hidup tenang dan bahagia dalam kehidupan rumahtangga yang saya bina, sedangkan saya belum mempunyai harta yang cukup?

Gambaran yang memberatkan fikiran ini sudah biasa, dan menghalangi seseorang untuk berani melangkah untuk berumahtangga. Sering kita perhatikan dalam kehidupan sehari-hari seseorang yang sebelum menikah telah mengumpulkan kekayaan beratus ribu ringgit, sebagai syarat untuk dapat memulai kehidupan rumahtangga. Akan tetapi, sebelum berumahtangga ia telah melakukan hubungan-hubungan yang melanggar syariat Islam , seperti pergaulan bebas dan sebagainya.

Mereka beranggapan bahawa berumahtangga itu adalah merupakan beban yang sangat berat, sehingga memerlukan persiapan yang cukup besar, ibarat orang yang membangunkan gedung raksasa. Fikiran yang semacam ini adalah fikiran jahiliyah, fikiran sesat, fikiran orang-orang yang tidak beriman pada ALLAH azza wa Jalla. Kalau kitapun berfikiran sebegini, bererti kita telah termasuk ke dalam golongan orang-orang yang kufur dan orang-orang yang jahil. Oleh kerana itu, untuk membangkitkan semangat supaya para pemuda tidak takut beristeri dab tiak mempunyai bayangan-bayangan yang menakutkan, maka Rasulullah dalam sebuah hadisnya bersabda yang bererti:

"Ambillah isteri, kerana beristeri lebih membuka pintu rezeki bagi kamu" (HR At-Thusiy)

Itulah jaminan ALLAH kepada orang-orang yang hidup berumahtangga atau membangun kehudpan suami isteri. Mereka dijamin tidak akan menjadi orang yang melarat atau sengsara. Tetapi ALLAH membuka pintu rezeki yang lebih lebar kepadanya.

Dengan melalui pengalaman dari kehidupan sehari-hari, kita banyak mengenal orang ketika masih bujang, mereka tidak mempunyai apa-apa. Paling banyak hanyalah pakaian yang dipakainya, kalaupun mereka mempunyai yang lain dari itu, kadang-kadang mereka peroleh dari orang tua mereka. Bagitu sahaja mereka beristeri, tidak sampai beberapa tahun, selepas itu kita ketemu semula. Kita lihat pada waktu itu, mereka sudah dapat membeli pakaian yang bagus, bahkan ada yang sudah mampu membeli kenderaan seperti kereta dan sebagainya. Kalau dahulu hidupnya dibiayai oleh orang tua, maka sekarang mereka sudah mampu hidup sendiri, bahkan ada yang telah membeli rumah sendiri. Ini semuanya membuktikan kepada kita, bahawa ALLAH memang menjamin terbukanya pintu rezeki yang lebih besar bagi orang yang berani hidup bersuami isteri.

(Rujukan: Drs Kasmuri Selamat, Panduan Perkahwinan-Kunci Syurga yang Terbuang, Jasmin Enterprise, cetakan keempat, 1999)