UJIAN DAN PERTOLONGAN ALLAH
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih; Assalamualaikum waroh matullahi wabarokatuh.
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kepada Allah dengan sesungguhnya dan jauhkanlah diri dari semua perkara yang boleh menjejaskan jalan-jalan menuju taqwa kepada Allah. Inilah tujuan utama sebagai seorang muslim.

Dalam melalui perjalanan hidup ini sesungguhnya kita tidak dapat dipisahkan dari pelbagai ujian, terutama sekali bagi mereka yang sentiasa mengejar kejayaan dan berusaha untuk mendapatkan kebahagiaan, kerana ujian itulah sebagai ukuran terhadap usaha seseorang, sama ada berjaya atau tidak adalah terletak atas kemampuan dan kesanggupan menghadapi ujian-ujian tersebut. Proses ini juga berlaku kepada iman seseorang kepada Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Alif,Lam,Mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman" sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian). Dan demi sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian) nyata pula apa yang diketahui tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuinya tentang orang-orang yang berdusta. (Surah al-Ankabut:1-2)"

Muslimin dan Muslimat yang berbahagia,

Ayat ini memberikan pengertian yang besar kepada kita semua, bahawa hubungan manusia dengan hidup adalah hubungan ujian dan cubaan. Allah S.W.T menjelaskan dalam ayat ini bahawa seseorang manusia itu tidak cukup dan tidak memadai dengan sekadar membuat pengakuan lisan sahaja dan hanya berkata "kami telah beriman kepada Allah" sedangkan mereka belum diuji oleh Allah S.W.T kerana setiap ujian dan cubaan yang dihadapkan oleh Allah S.W.T kepada hamba-Nya adalah merupakan sebagai garis penentu untuk mengetahui siapakah yang benar-benar beriman kepadanya dan siapakah yang hanya membuat pengakuan lisan sahaja, sedangkan mereka berdusta.

Ujian seperti itu telahpun Allah S.W.T hadapkan kepada umat yang terdahulu daripada kita, iaitu umat yang telah dipimpin oleh para Rasul dan anbia' sebelum daripada Nabi Muhammad s.a.w. Maka hasil daripada ujian itu, Allah S.W.T telah dapat mengetahui siapakah yang benar-benar beriman kepadanya dan siapakah yang mendustakan-Nya.

Harus diketahui bahawa ujian yang dihadapkan kepada kita bukan dalam bentuk kesusahan atau dalam bentuk kesulitan dan kesakitan sahaja. Malah terdapat juga ujian dalam bentuk-bentuk kemewahan, kekayaan dan juga dalam bentuk kedudukan dan pangkat yang tinggi. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: " Setiap diri akan merasai mati dan Kami ujikan sekalian kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu sekalian akan kembali. (Surah al-Anbiya':35) "

Muslimin dan Muslimat yang berbahagia,

Kesabaran amat penting dalam diri seseorang individu yang mengaku beriman kepada Allah S.W.T apabila mereka ditimpa sebarang masalah di dalam kehidupannya. Dengan bersabar manusia akan menyedari hakikat dirinya sebagai seorang hamba di atas muka bumi ini. Bahawa segala usaha dan ikhtiar manusia itu ketentuannya adalah ditangan Allah. Firman Allah Taala yang bermaksud: " Dan sesungguhnya Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar.(Surah al-Baqarah:155)"

Syariat Islam melarang keras umatnya hilang pertimbangan apabila berada di dalam kesusahan dan kesempitan hidup sehingga sanggup melanggar batas-batas hukum Allah dan nilai-nilai murni yang didokong oleh Islam. Umat Islam mestilah menyedari
bahawa antara penyebab daripada kegawatan yang berlaku di negara-negara umat Islam di dunia ini adalah daripada perancangan musuh-musuh Islam yang mahu melihat umat Islam agar senantiasa berada di dalam pergolakan.

Sejarah telah membuktikan bagaimana baginda Rasulullah s.a.w ketika beliau berada di dalam kegawatan, iman dan taqwanya semakin bertambah. Contohnya dalam peritiwa genting ketika bumi Madinah telah dikepung oleh tentera-tentera Ahzab iaitu pasukan bersekutu kafir Musyrikin.

Kepungan pasukan Ahzab dalam masa yang lama itu telah menyebabkan penduduk Madinah terputus bekalan makanan dan lain-lain keperluan harian mereka sehingga ada di kalangan umat Islam Madinah berada di dalam kebuluran. Tetapi dengan kepimpinan Rasulullah mereka tetap bersabar. Mereka terus berikhtiar dan mengatur strategi, di samping terus mempertahankan prinsip Islam untuk tidak berkompromi dan tunduk kepada tekanan musuh-musuh Islam walaupun sedang ujian dengan kegawatan nyawa dan ekonomi serta aqidah mereka.

Kerana kegawatan taqwa mereka maka Allah S.W.T telah memberikan pertolongan-Nya. Dengan mengirimkan ribut pasir lalu memporak-perandakan penyatuan tentera-tentera kafir Musyrikin sehingga mereka berputus asa dan pulang dengan kekecewaan. Peristiwa ini telah disebutkan oleh Allah Taala di dalam surah al-Ahzab dengan firman-Nya yang bermaksud: " Dan Allah menghalau orang-orang kafir itu dalam keadaan mereka berada di dalam keburukan, lalu mereka tidak memperolehi apa-apa keuntungan pun kerananya Allah telah menghindarkan orang-orang mukmin daripada peperangan yakni dengan menurunkan ribut dan para malaikat. Dan adalah Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (Surah al-Ahzab:25) "

Inilah janji-janji Allah kepada orang-orang yang bersabar dan mengekalkan taqwa mereka kepada Allah S.W.T bahawa untuk mereka ada jalan keluar daripada setiap masalah yang mereka hadapi. Firman Allah yang bermaksud: " Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah maka untuknya diberi jalan keluar dalam setiap masalah yang dihadapi dan diberikan rezekinya untuknya daripada jalan yang tidak disangka-sangka. (Surah at-Talaq:2)"

Muslimin dan Muslimat yang berbahagia,

Allah yang Maha Bijaksana telah menurunkan ujian kepada manusia adalah dengan tujuan agar manusia itu kembali kepada Allah dengan memperbaiki dirinya serta menambah keimanan mereka. Ujian adalah juga kayu pengukur untuk mengetahui samada seseorang itu mempunyai iman yang benar-benar berkualiti ataupun tidak sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: " Allah pasti akan menguji salah seorang daripada kamu dengan sesuatu malapetaka seperti halnya salah seorang di antara kamu menguji emasnya dengan api. Sebahagian dari mereka ada yang berhasil keluar dari cubaan Tuhan itu bagaikan emas murni, tetapi sebahagian yang lain ada yang keluar bagaikan emas palsu yang hitam dibakar api."

Ujian Allah melalui nikmat kesenangan dan kekayaan serta pangkat kebesaran sebenarnya lebih mencabar daripada ujian kesusahan dan kesakitan. Ada juga manusia apabila diberi nikmat yang melimpah kepadanya lalu ia lupa dan sombong kepada Allah Taala. Di mana-mana ia akan membusungkan dadanya. Tetapi ketika ditimpakan kepadanya cubaan hidup maka dia akan berdoa panjang kepada Tuhan. Firman Allah yang bermaksud: " Apabila Kami berikan nikmat kepada manusia dia berpaling dan menjauhkan diri. Tetapi bila bahaya datang menimpanya dia berdoa panjang lebar. (Surah al-Fushilat:51)"

" Demi Allah, bukankah kepapaan yang aku khuatirkan menimpa kalian, tetapi justeru aku khuatir kalau-kalau kemewahan hidup didunia yang kalian dapatkan sebagaimana telah diberikan kepada orang-orang sebelum kamu, lalu kalian bergelimang dalam kemewahan itu sebagaimana mereka bergelimang kemewahan, lalu kalian dibinasakan sebagaimana orang-orang dahulu itu telah binasa.(Riwayat Bukhari)"

Ujian dan cubaan yang datang dan hadir dalam kehidupan sebenarnya kita hadapi dengan penuh kesabaran kerana semakin banyak ujian yang datang dan hadir semakin kuatlah jiwa dan rohani kita. Berbeza sekali antara jiwa yang tidak pernah diuji bila dibandingkan dengan jiwa yang kuat kerana seringkali ditimpa dengan pelbagai kesulitan dan ujian. Cara hidup dan cara berfikir orang yang sering teruji biasanya lebih matang dan kukuh sebagaimana banyak contoh dari orang-orang besar dan generasi masa lalu adalah orang-orang yang sering menderita dalam hidupnya. Penderitaan yang seringkali menimpa itu sebenarnya tanpa kita sedari telah merangsang pelbagai daya pertahanan dan kekuatan yang tersembunyi di dalam diri kita sendiri. Bukankah lantaran sering diasah maka batu kasarpun berubah menjadi batu permata?

Para pencinta kebenaran rindukan suasana Ukhuwah masyarakat yang beriman dalam aman dan sejahtera, bahkan merindukan tertegaknya “Kalimah Allah” di muka bumi…