Wajah dan Perwatakan Rasulullah SAW dari riwayat Hind ibn Abi Halah:

Cucunda Rasulullah saw, Hasan (ra) baharu sahaja berumur tujuh tahun ketika wafatnya Rasulullah saw. Beliau juga berkata:

...Daku bertanya daripada bapa saudaraku (sebelah ibu) Hind ibn Abi Halah mengenai wajah dan perwatakan Rasulullah saw, kerana beliau selalu menerangkannya secara terperinci. Daku berharap beliau juga dapat menerangkan sifat-sifat yang mulia kepadaku agar dapat kujadikan penerangannya itu sebagai bukti dan hujjah bagi diriku dan ingatanku dan setelah dapat membenamkan sifat-sifat yang mulia tersebut di dalam ingatanku, akan daku usahakan sedaya upayaku untuk diamalkan. Maka beliau, Hind berkata bahawa:

"Baginda mempunyai sifat yang sangat mulia pada dirinya dan juga sangat mulia pada pandangan orang-orang lain. Wajahnya bercahaya seperti bulan mengambang. Baginda lebih tinggi daripada orang yang sederhana tetapi lebih rendah daripada orang yang sangat tinggi. Kepalanya yang mulia sederhana besarnya. Walaupun besar tetapi sepadan dengan kekacakannya. Tidaklah begitu besar sehingga mencacatkan kekacakan wajah dan perawatakannya. Rambutnya yang mulia sedikit bergelombang (iaitu tidaklah lurus sangat). Baginda tidak mengambil berat untuk membelah rambutnya; jika rambutnya senang untuk dibelah, maka baiklah keadaannya, jika tidak baginda pun tidak memberi tumpuan untuk melakukannya. Dalam hal yang demikian, baginda melakukannya mengikut masa dan keadaan. Jika setelah diminyaki rambutnya, baginda akan membelah rambutnya bilamana sikat diperolehi kemudiannya.

Bila rambut Rasulullah saw panjang, rambut baginda melepasi sedikit daripada cuping telinganya. Wajah baginda berseri-seri dan dahinya luas. Keningnya tipis dan melengkung dan tidak bertemu. Di antara keningnya, terdapat satu urat yang akan timbul apabila baginda murka. Hidungnya yang mulia mancung dan bercahaya. Pada sekali pandang seorang pemerhati secara halus maka dia akan mendapati bahawa hidungnya mancung adalah disebabkan cahaya dan bukanlah sebenarnya besar.

Janggutnya yang mulia berkeadaan lebat. Anak matanya tersangat hitam. Pipinya rata (tidak cengkung), berisi tidak kendur atau menggelambir.

Mulut baginda sederhana luasnya (tidak sempit yang menjadikan rupa seorang itu huduh); giginya kecil dan bercahaya (dan tidak besar). Di antara gigi-gigi hadapannya terdapat sedikit jarak dan tidaklah rapat sangat di antara satu sama lain. Satu garisan rambut halus membarisi daripada dada ke pusat.

Lehernya kurus dan cantik untuk dilihat, seumpama besi yang dicanai dan warna kulitnya cerah dan menarik seperti perak. Kesemua kaki dan tangannya berulas. Badannya tegap. Perut dan dadanya rata (yakni tidaklah buncit yang boleh menyebabkan kesukaran sewaktu berjalan). Dadanya yang bidang malahan agak lebar di antara kedua-dua bahunya. Tulang-tulang sendinya besar dan kuat (menunjukkan kekuatan). Apabila baginda membuka baju, badannya nampak berkilat dan berkilau (bahagian badan yang terdedah juga nampak berkilat dan bersinar sebagaimana bahagian yang tertutup). Terdapat satu jalur bulu di antara dada dan perut. Selain ini, dada dan perutnya, tidak mempunyai bulu tetapi bulu-bulu terdapat pada kedua-dua lengan, bahu dan bahagian atas dada.

Pergelangan tangannya panjang dan tapak tangannya lebar. Kedua-dua kakinya berisi montok. Jari-jari tangan dan kakinya panjang setangkup (sama ukuran). Tapak kakinya dalam dan kakinya rata. Kakinya yang berkeadaan licin, menjadikan air berlalu tanpa melekat dan lantas mengalir terus.

Apabila baginda berjalan, baginda akan menapak ke hadapan dengan tegap. Baginda berjalan agak membongkok ke hadapan sambil meletakkan kakinya ke tanah dengan lembut tanpa menghentak. Baginda berjalan dengan langkah yang cergas dan bukan langkah pendek-pendek. Apabila baginda berjalan nampak seolah-olah baginda menuruni bukit.

Apabila Rasulullah saw memberikan sesuatu perhatian, baginda akan memalingkan seluruh tubuhnya. Matanya yang mulia sentiasa ke bawah, kebanyakkannya memandang ke arah bumi daripada memandang ke langit. Memandang dengan ekor mata sahaja. Apabila baginda saw berjalan di dalam kalangan sahabat-sahabatnya, baginda saw akan mendahului mereka. Baginda saw akan mendahului memberi salam jika bertemu dengan orang ramai."
(Dipetik dari Kitab "Insan Teladan Sepanjang Zaman", Mufti Ahmed Ebrahim Bemat)

Diharap sahabat dapatlah berkongsi ilmu ini dengan sahabat-sahabat yang lain...